Sunday, October 17, 2010

PERJUANGAN HAMBA

Assalamu'alikum wbt,

MENGENAL HAKIKAT HIDUP

Hidup di dunia adalah satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada manusia lebih-lebih lagi dalam keadaan seorang insan yang sempurna kejadiannya. Ada manusia yang dilahirkan ke dunia dalam keadaan yang cacat anggota, namun jika dibandingkan dengan nikmat hidup di dunia sementara ini segala kekurangan itu akan hilang. Nilai kekurangan itu akan bertambah hilang apabila insan yang cacat itu memahami hakikat hidup di dunia yang sebenarnya.

Dalam memahami hakikat hidup di dunia ini, manusia terbahagi kepada dua golongan iaitu:

i. Golongan yang menyedari dan menghayati bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan sebagai tempat melakukan amalan untuk menuju ke satu alam yang kekal abadi tanpa ada penghujung dan penghabisan. Alam yang mempunyai dua bentuk kehidupan iaitu kehidupan nikmat dan kehidupan azab. Golongan ini diungkap oleh al-Quran dan al-Sunnah sebagai golongan yang beriman.

ii. Golongan kedua pula ialah golongan yang memahami bahawa hidup di dunia ini juga adalah sementara tetapi ia akan tamat apabila mereka mati dan menghembuskan nafas yang terakhir. Bagi mereka tidak ada alam lain selain dari alam dunia. Segala-galanya akan habis hanya di dunia dan tidak lebih dari itu. Peranan mereka hanyalah mencari kepuasan hidup di dunia dengan segala cara yang bolehmenjayakan impian mereka tanpa mengambil kira perkiraan selain dari perkiraan dunia. Golongan ini diungkap oleh al-Quran sebagai golongan ad-dahriyyun sebagaimana kata-kata mereka dalam al-Quran tentang kehidupan dunia yang bermaksud:

Kehidupan hanyalah kehidupan hari ini (di dunia) dan kami tidak akan dibangkitkan semula.

Golongan pertama iaitu golongan yang beriman pula terbahagi kepada dua golongan lagi iaitu golongan yang sentiasa sedar bahawa segala tindak tanduknya akan diperhitungkan oleh Allah Taala di akhirat kelak dan mereka akan menerima pembalasan yang setimpal dengan amalan mereka. Sekiranya mereka melakukan amalan kebaikan dengan ikhlas akan diberikan ganjaran pahala dan nikmat di akhirat. Sebaliknya sekiranya mereka melakukan amalan kejahatan akan dibalas dengan dosa dan azab di akhirat. Pertimbangan dosa pahala, nikmat dan azab di akhirat sentiasa berada dalam piawai pemikiran mereka dalam melakukan sesuatu amalan. Jika mereka melakukan dengan tidak sengaja, jiwa mereka tidak akan tenteram seolah-olah di atas kepala mereka ada gunung yang menimpa diri mereka. Sekalipun mereka telahbertaubat tetapi kerisauan tentang nasib mereka di akhirat masih lagi berlegar di pundak kepala mereka. Mereka akan segera bertaubat sebaik sahaja melakukan kesalahan di hadapan Allah tanpa bertangguh lagi. Dalam perbincangan ilmu tasauf golongan ini dinamakan sebagai orang yang mempunyai nafsu ‘lawwamah’ yang bermaksud jiwa yang mencela dirinya sendiri apabila melakukan dosa terhadap Allah.

Manakala golongan kedua dari kalangan orang beriman ini pula adalah golongan yang tenggelam timbul dalam arus kehidupan dunia.Kadang-kadang mereka menggunakan piawaian yang betul dalam melakukan kerja-kerja di dunia dan kadang-kadang mereka menggunakan piawaian yang salah. Namun mereka tetap tergolong ke dalam golongan yang beriman selagi mana mereka tidak terang-terangan melakukan perkara yang mengakibatkan keimanannya terbatal. Kadang-kadang jika diperhatikan tingkah laku golongan kedua dari kalangan orang yang beriman ini sama dengan golongan dahriyun yang langsung tidak percaya wujudnya alam akhirat selain dari alam dunia ini. Namun apabila diperingatkan dengan cara yang sesuai dengan penerimaan mereka, mereka akan sedar semula dan kembali cuba menghayati konsep alam akhirat tersebut. Kebanyakan daripada kalangan mereka ini bukanlah dengan sengaja bermaksud hendak melupakan alam pembalasan iaitu alam akhirat, tetapi mereka telah terperangkap dengan perangkap-perangkap yang dibuat oleh musuh-musuh mereka untuk melupakan mereka terhadap hari akhirat tersebut.

Oleh itu adalah penting setiap individu muslim yang tergolong ke dalam golongan kedua dari kalangan orang beirman ini diperingatkan tentang hakikat hidup di dunia ini agar mereka sentiasa ingat dan sedar tentangnya. Dalam tulisan ini seterusnya akan dijelaskan tentang beberapa hakikat hidup di dunia yang perlu diperingatkan sepanjang masa kepada orang Islam lelaki dan perempuan tanpa mengira kedudukan sosialnya:

Hakikat pertama:

Hidup dunia ini tidak kekal buat selama-lamanya. Sebaliknya ia hanyalah buat sementara. Ia hanya berlalu beberapa tahun yang boleh dihitung. Jangkauan tempoh hidup bagi setiap orang tidak sama. Ada yang panjang dan ada yang pendek. Ada yang dimatikan oleh Allah hanya beberapa hari selepas kelahiran daripada perut ibunya dan ada yang dimatikan setelah badannya bongkok dan akalnya nyanyok.

Hidup di dunia ini hanyalah satu perjalanan yang bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan kematian yang akan bersambung dengan satu perjalanan lain yang tidak akan ada penghujungnya. Hakikat inilah yang telah banyak diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w kepada para sahabat dalam banyak ketika. Kadang-kadang baginda menjelaskan bahawa perumpaan seorang manusia yang hidup di dunia ini adalah seperti seorang pengembara yang singgah sebentar di bawah sebatang pohon bagi merehatkan diri daripada kepenatan. Adalah suatu yang menghairankan jika pengembara yang hanya singgah buat beberapa ketika sahaja di bawah pohon tersebut membuat rumah yang serba lengkap dan tinggi nilainya. Pengembara  itu tidak akan singgah buat kali kedua di bawah pohon tersebut.  Inilah hakikat kesementaraan hidup di dunia.

Hakikat kedua:

Hidup di dunia ini adalah sebagai ujian yang keputusannya akan dapat diketahui di satu alam yang kekal abadi. Ujian ini adalah dalam bentuk ‘amal’ atau ‘kerja’ atau ‘praktikal’. Rasulullah s.a.w memberikan gambaran yang jelas tentang nilai amal atau kerja atau praktikal dalam kehidupan dunia ini dengan menyatakan muslim yang hidup ditengah-tengah orang ramai dan bersabar atas segala karenah mereka adalah lebih baik daripada muslim yang mengasingkan diri daripada orang ramai. Ujian ini diberikan oleh Allah kepada manusia dalam tiga bentuk iaitu:

i.   Nikmat.

ii.  Tanggungjawab.

iii. Musibah.

Manusia kerap kali akan ingat dan mengharapkan pertolongan Allah apabila ditimpa kesusahan atau penderitaan. Seorang yang sakit tenat akan berdoa kepada Allah agar disembuhkan segera daripada sakitnya. Seorang yang ditimpa kemiskinan berdoa kepada Allah agar diberikan rezeki yang luas untuk hidup dalam keadaan yang selesa. Tetapi jarang sekali orangyang menerima nikmat samada dalam bentuk kesihatan yang baik, masa yang lapang dan rezeki harta benda yang melimpah ruah ingat dan mensyukuri nikmat-nikmat tersebut. Jarang sekali orang yang memperolehi nikmat-nikmat yang banyak berdoa kepada Allah agar memberi petunjuk dalam menggunakan nikmat-nikmat yang diperolehi itu ke jalan yang diredhainya.

Tidak hairan sekiranya kita mendengar Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa orang miskin yang sabar dan oran gkaya yang bersyukur akan duduk disebelah baginda di dalam syurga nanti. Ada orang yang hidup beragama ketika dalam keadaan miskin dan sederhana bertukar menjadi orang yang tidak mempunyai pedoman agama dalam kehidupan apabila sudah menjadi kaya dan berada. Inilah realiti kehidupan manusia di dunia sekiranya tidak sentiasa ingat dan sedar tentang hakikat hidup yang sebenarnya.

Segala kemudahan yang ada pada manusia samada nikmat anggota badan, rupa paras, pakaian, makanan, tempat tinggal, alat media, kenderaan, wang simpanan, pendapatan bulanan, anak-anak dan sebagainya adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah sebagai satu ujian daripadaNya untuk melihat berjaya atau tidak seseorang hamba menguruskan dan menggunakan nikmat-nikmat tersebut. Namun kadang-kadang perlu diingat juga bahawa ada pemberian Allah kepada manusia bertujuan untuk menambah jauhkan lagi manusia itu daripadaNya sebagaimana yang dikurniakannya kepada orang kafir. Dalam ilmu akidah kurniaan ini dinamakan sebagai istidraj. Inilah bentuk azab Allah ke atas manusia yang jarang-jarang sekali disedari. Azab berbentuk nikmat ini diturunkan oleh Allah kepada manusia apabila tidak menghiraukan peringatan-peringatan yang diberikan kepadanya.

Oleh sebab itu banyak hadis nabi yang memperingatkan manusia tentang nikmat-nikmat yang akan dihisab oleh Allah di akhirat kelak. Oleh itu kita dapat melihat orang-orang yang memahami hakikat nikmat sebaga ujian ini sentiasa berhati-hati dalam menggunakan nikmat-nikmat tersebut. Mereka juga sentiasa memberikan nasihat kepada manusia lain supaya berhati-hati dalam menggunakannya. Justeru itu kita melihat generasi para sahabat sentiasa berlumba-lumba memberikan sumbangan harta mereka di jalan Allah apabila diperlukan tanpa rasa kedekut atau berat hati. Rasulullah s.a.w memperingatkan kita bahawa empat nikmat pasti akan ditanya oleh Allah dipadang mahsyar kelak iaitu nikmat umur, usia muda, ilmu dan harta.

Ujian bentuk lain lagi ialah tanggungjawab. Berbagai bentuk tanggungjawab yang diberikan oleh Allah sebagai ujian kepada manusia. Tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi, negara, ilmu, agama, ummah dan alam seluruhnya adalah bentuk ujian daripada Allah untuk melihat berjaya atau tidak manusia menjalankan peranan sebagai khalifah. Tanggungjawab ini juga kadang-kadang diungkap sebagai kewajipan.

Di dalam ilmu usul feqah apabila disebut perkataan wajib, maka ia bermakna melakukannya mendapat pahala dan meninggalkannya mendapat dosa. Ia termasuk dalam lima hukum taklifi iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Segala tindak tanduk manusia tidak akan lari daripada lima hukum ini. Tidak hairanlah sekiranya Rasulullah s.a.w juga menyebutkan bahawa salah satu golongan yang akan duduk di sebelahnya di dalam syurga kelak ialah pemerintah yang adil. Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan amat berat. Sekiranya berjaya ditunaikan, ganjarannya amat besar sekali. Sebaliknya sekiranya gagal dilaksanakan, penyesalan tidak akan berakhir.

Hakikat ketiga: Rintangan.

Manusia yang hidup sementara di dunia ini dan berjaya melepasi ujian Allah dengan menggunakan semua nikmat di jalan yang diredhai oleh Allah, menunaikan segala tanggungjawab yang terpikul di atas bahunya dan bersabar dalam menempuh segala kesusahan yang mendatang disamping berusaha mengatasinya akan diberikan balasan syurga kekal buat selama-lamanya. Secara teorinya ia suatu yang mudah untuk dilakukan, tetapi secara praktikalnya tidak semudah yang dibayangkan.

Nilai kehidupan dunia yang akan menentukan nasib manusia di akhirat adalah kehidupan praktikal, bukannya teori. Seorang rakyat biasa yang berangan-angan akan melaksanakan keadilan apabila menjadi pemimpin negara tidak akan diberikan balasan duduk disebelah nabi di dalam syurga. Akan tetapi yang diberikan balasan duduk di sebelah Nabi di dalam syurga ialah manusia yang memegang jawatan pemimpin dan yang melaksanakan kepimpinannya secara adil. Seorang yang bertapa di dalam gua tidak akan diberikan ganjaran menundukkan pandangan daripada melihat aurat perempuan. Akan tetapi yang diberikan ganjaran ialah manusia lelaki yang bergaul dengan masyarakat kerana melakukan aktiviti hariannya yang berbentuk makruf, dalam waktu yang sama menjaga pandangannya daripada melihat aurat perempuan dengan sengaja sepangjang pergaulannya dengan berbagai jenis manusia. Seorang miskin tidak akan diberikan pahala apabila berangan-angan akan bersedekah dan membelanjakan hartanya ke jalan kebaikan apabila menjadi kaya kelak. Akan tetapi yang orang yang mendapat ganjaran ialah orang yang telah menjadi kaya dan berjaya lalu membelanjakan hartanya ke jalan yang diredhai oleh Allah.

Begitulah, yang dinilai terhadap manusia kelak ialah amalannya, bukannya angan-angan atau ‘teori’ yang ada di dalam kepalanya tanpa berdepan dengan alam realiti. Tetapi satu hakikat lagi yang perlu diingat dan dihayati oleh setiap muslim dan mukmin ialah untuk melaksanakan amal mengikut keredhaan Allah bukan suatu yang mudah. Sebagai contoh bukan mudah pemimpin untuk melaksanakan keadilan, bukan mudah orang kaya hendak menggunakan hartanya pada kebaikan dan bukan mudah seorang lelaki yang berdepan dengan perempuan cantik dan berkedudukan untuk menundukkan pandangannya. Oleh sebab itu tidak hairan Rasulullah s.a.w menyebut ketiga-ketiga golongan di atas sebagai orang yang mendapat perlindungan Allah di hari akhirat kelak dalam  hadis yang menyebut tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari tidak ada perlindungan selain perlindunganNya.

Ini kerana mereka sentiasa berdepan dengan berbagai rintangan di tengah jalan dalam proses mereka melaksanakan segala amanah, nikmat dan tanggungjawab tersebut. Rintangan-rintangan tersebut bolehlah disimpulkan seperti berikut:

1. Hasutan dan tipu daya syaitan yang menyesatkan.

2. Bisikan hawa nafsu yang mengajak melakukan amalan yang berlawanan dengan jalan yang lurus.

3. Pujuk rayu dan tarikan oleh manusia yang ada di sekelilingnya.

4. Serangan-serangan nilai yang dilakukan oleh musuh Islam dalam usaha menyesatkan umat Islam daripada jalan yang lurus.

Di samping itu semua Allah telah membekalkan manusia dengan petunjuk yang lurus dalam segala aspek amalan dan aktivitinya. Maka terpulanglah kepada manusia untuk mengikut atau tidak jalan yang telah ditunjukkan. Di sinilah terserlahnya nilai kemuliaan manusia iaitu mempunyai pilihan menentukan jalan yang hendak dikehendaki. Berdasarkan pilihan mereka itulah, Allah akan memberikan ganjaran atau pembalasan terhadap segala kerja dan amal yang mereka telah lakukan di dunia ini.

No comments:

Post a Comment